MEI 2023

Perutusan YAB Premier Sarawak Sempena Gawai Dayak 2023


PERUTUSAN

YAB PREMIER SARAWAK

DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG SEMPENA

GAWAI DAYAK 2023

Salam sejahtera

Salam Sarawakku Sayang

1. Bagi pihak saya sendiri dan keluarga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Gawai 2023 kepada rakan-rakan dan anak Sarawak berketurunan Dayak di mana sahaja saudara dan saudari berada, baik di Sarawak, di Semenanjung ataupun di luar negara yang menyambut Gawai pada tahun ini.

2. Sudah menjadi kelaziman, seperti pada musim perayaan- perayaan lain, pada musim Gawai rakyat Sarawak berketurunan Dayak akan kembali ke kampung halaman atau rumah panjang masing-masing untuk meraikan Gawai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di tempat asal mereka.

3. Hari Gawailah yang ditunggu-tunggukan pada tiap-tiap tahun oleh anak-anak Sarawak berketurunan Dayak yang berada di perantauan seperti di Semenanjung atau “bejalai” ke luar negara, terutamanya bagi mereka yang bekerja dalam industri minyak dan gas. Gawai memberi mereka peluang untuk kembali ke Sarawak, Bumi Kenyalang, Ibu Pertiwi yang sentiasa menggamit perasaan.

4. Saudara dan saudari balik ke kampung atau rumah panjang masing-masing dengan menaiki kapal terbang, menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam, atau menaiki bot atau perahu, dengan perasaan yang sungguh teruja kerana sekali lagi akan menatap wajah rakan-rakan dan sanak-saudara yang pasti sudah menunggu dengan penuh kegirangan. Saya berdoa agar saudara dan saudari sentiasa berada dalam keadaan selamat dalam perjalanan.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

5. Sempena musim perayaan ini saya amat berharap saudara dan saudari telah berbelanja dengan berkhemah. Belilah barang-barang yang perlu sahaja kerana menyimpan untuk masa hadapan penting untuk pendidikan anak-anak. Pendapatan daripada penggajian atau hasil yang lumayan daripada aktiviti pertanian harus juga boleh disimpan untuk tujuan jangka panjang seperti pelaburan di saham-saham amanah yang dijamin oleh Kerajaan.

6. Apapun, saya yakin kehidupan rakyat kita yang berketurunan Dayak, khususnya yang mendiami kawasan luar bandar hidup lebih selesa daripada era 30 tahun yang lalu. Sekarang ini banyak rumah panjang orang Iban yang berbentuk serba moden, berlantai jubin dengan kelengkapan- kelengkapan moden seperti peti sejuk, penghawa dingin dan lain- lain. Tahniah kepada mereka yang mempunyai rumah panjang yang cantik dan moden yang pada masa sama masih mempunyai semangat mengekalkan adat resam dan kebudayaan kaum Dayak.

7. Memanglah keselesaan yang sedang dinikmati adalah hasil titik peluh saudara dan saudari sendiri sebagai petani, ahli perniagaan, pekerja di sektor industri, sektor minyak dan gas, di sektor awam dan swasta, dan sebagainya. Kerajaan hanya berperanan menggubal dasar-dasar yang berkesan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat supaya mereka mempunyai pendapatan yang tetap dan tinggi.

8. Saya yakin masa hadapan generasi muda akan lebih cerah dengan program pembangunan ekonomi yang akan membawa ekonomi Sarawak ke suatu tahap yang tinggi ke arah pembangunan “ekonomi baharu” berasaskan teknologi, data dan innovasi. Yang Amat Perdana Menteri pernah berkata dalam ucapan beliau bahawa Sarawak agak mendahului negeri-negeri lain atau Kerajaan Persekutuan dalam usaha meneroka ekonomi yang berteraskan kelestarian sumber.

9. Umpamanya, Sarawak sudah mempunyai sedikit keupayaan untuk menghasilkan gas hidrogen yang digunakan beberapa buah bas dan kenderaan yang dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen. Di samping itu, Sarawak baru-baru ini juga terbukti berupaya mengeluarkan minyak bersifat hijau bagi keperluan industri penerbangan daripada alga, atau lumut, yang telah digunakan oleh pesawat Airbus untuk pertama kalinya bagi penerbangan dari Kuching ke Langkawi.

10. Mungkin sukar untuk dipercayai umum bahawa “lumut” boleh mengeluarkan minyak, namun dengan penglibatan syarikat- syarikat besar dari Jepun di samping penglibatan Petronas, syarikat Airbus dan Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dengan rakan kongsi dari Sarawak, tidak syak lagi bahawa alga membawa harapan yang begitu besar untuk ekonomi Sarawak yang mampan pada masa hadapan.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

11. Negeri kita amat bernasib baik kerana mempunyai suasana politik yang agak stabil dan rakyat yang bersatu padu walaupun berbilang bangsa dan agama. Suasana ini telah membolehkan Kerajaan GPS pimpinan saya untuk memberi tumpuan penuh kepada usaha untuk mempertingkatkan ekonomi negeri ini. Pada tahun lepas pendapatan Sarawak meningkat kepada RM12 bil berbanding RM7.62 bil pada 2021 dan dalam suku pertama 2023 Sarawak telah memungut RM5.004 bilion hasil pendapatan negeri.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

12. Gawai Dayak adalah identiti kaum Dayak di Sarawak dan yang seharusnya menjadi satu titik penyatuan kaum Dayak. Kaum Dayak harus bersatu dalam usaha untuk mengejar pembangunan dalam pelbagai bidang seiring dengan kaum-kaum lain di negeri ini. Dengan ikhlas saya menyatakan bahawa sebagai pemimpin yang bertanggung jawab saya tidak ingin melihat mana-mana kaum di negeri ini ketinggalan dari segi mengejar pembangunan. Saya yakin dengan usaha gigih dan sikap yang betul kaum Dayak juga boleh maju seperti mereka yang sudah maju.

13. Oleh itu, saya amat berharap musim perayaan ini, suasana yang riang ria boleh menjadi wadah untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan iltizam kaum Dayak ke arah penglibatan yang lebih aktif dalam proses pembangunan negeri ini.

14. Saya ingin mengulangi kenyataan bahawa kaum Dayak mempunyai aset yang besar dalam bentuk pemilikan tanah yang harus diberi keupayaan untuk menjana pendapatan melalui pelbagai cara. Kerajaan GPS akan terus berusaha untuk menyediakan kemudahan infrastruktur untuk menyokong usaha pembangunan di kawasan luar bandar.

15. Usaha ini melibatkan perbelanjaan yang besar, namun saya yakin dengan pendapatan negeri yang semakin bertambah ia dapat dilakukan secara berperingkat-peringkat melalui beberapa agensi pembangunan setempat yang telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri.

16. Saya amat berharap seluruh rakyat Sarawak akan berkongsi kegembiraan menyambut Gawai bersama-sama rakan-rakan kita yang berketurunan Dayak. Inilah masanya kita sebagai anak Sarawak untuk terus saling kunjung-mengunjung untuk mengucapkan selamat Gawai kepada rakan-rakan kita yang meraikannya.

17. Akhir kata, sekali lagi saya dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani mengucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai Lantang Senang Nguan Menua kepada seluruh masyarakat Dayak yang merayakan Gawai.

18. Sekian. Terima kasih.

Sumber dari : Sarawakku